Zaliha tidak perlu sentuh soal integriti

Zaliha tidak perlu sentuh soal integriti

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak melahirkan rasa kecewa dengan sikap Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustapa yang didakwa ‘melindungi’ proses pengundian yang tidak telus dalam pemilihan parti itu.

Menurutnya, situasi itu dapat dilihat apabila JPP seakan-akan tidak mengendahkan isu yang dibangkitkan membabitkan keraguan dalam proses pengiraan undi.

Malah kata bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu, kenyataan JPP bahawa audit mendapati ada cubaan menggodam sistem, bukannya menyelesaikan isu ketelusan seperti yang dikehendaki ramai pihak

Ini kerana katanya, kebanyakan bantahan tidak mempersoalkan sama ada sistem digodam atau tidak tetapi apa yang dibangkitkan adalah mengenai kebarangkalian berlaku manipulasi oleh pihak dalaman ke atas keputusan yang diterima.

“Permintaan untuk kekhuatiran yang berbangkit mengenai perkara ini diatasi dengan mudah dan telus adalah untuk satu kiraan semula semua undi, baik fizikal mahupun dalam talian, diadakan di hadapan saksi terdiri daripada calon, wakil mereka dan pihak ketiga.

“Permohonan untuk ketelusan ini langsung tidak diendahkan, malah kami dapati daripada sumber dalaman JPP sendiri bahawa audit forensik ini tidak menyentuh pun undi-undi dalam talian yang menimbulkan kontroversi ini.

“Malah Dr Zaliha sendiri kini dilihat berkompromi untuk melindungi proses-proses yang tidak telus ini, maka tidak perlulah beliau berbicara soal integriti kerana ia tidak wujud dalam konteks pemilihan parti ini dan permohonan untuk ketelusan pun ditolak mentah-mentah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sebagai sebuah parti yang menjunjung keadilan, perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku tetapi perlu segera mencari jalan penyelesaian.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )