Zahirkan rasa tidak puas hati pada PRN

Zahirkan rasa tidak puas hati pada PRN

Ahli UMNO boleh menunjukkan protes terhadap kepimpinan parti tersebut dengan tidak mengundi calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri dalam tahun ini.

Aktivis Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd Syed Nasir berkata, PRN adalah platform sesuai menzahirkan ketidakpuasan hati selepas Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) membuat keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi.

Jelas beliau, ketiadaan pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO itu seakan membunuh demokrasi walaupun dikatakan ‘mendapat’ sokongan sebulat suara perwakilan dalam PAU 2022 baru-baru ini.

“Keputusan ini juga memberikan gambaran buruk kepada rakyat bahawa parti ini tidak lagi relevan kepada orang muda kerana perwakilan yang hadir dalam PAU 2022 hakikatnya tidak sepenuhnya membawa suara akar umbi.

“Menggunakan alasan takut kepada perpecahan dalam parti hanyalah retorik semata-mata kerana apa yang sebenarnya adalah demi mengekalkan jawatan mereka sebagai pimpinan tertinggi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keputusan tidak mengadakan pertandingan dua jawatan utama itu juga memberi kesan yang kuat terhadap golongan muda untuk tidak lagi menjadikan UMNO atau BN sebagai parti pilihan mereka.

Syed Mohd mendakwa, sebahagian Ketua UMNO Bahagian serta wakil rakyat BN seperti takut untuk menyuarakan hakikat sebenar kerana bimbang akan diambil tindakan seperti yang berlaku kepada pemimpin tertinggi sebelum ini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )