Zahid persoal tindakan PN samakan taraf Parlimen dengan pub dan spa

Zahid persoal tindakan PN samakan taraf Parlimen dengan pub dan spa

Keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan Parlimen bersidang selepas negara memasuki Fasa III Pelan Pemulihan Negara seperti meletakkan lambang demokrasi negara itu setaraf pub, spa dan salon kecantikan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menyifatkan ketetapan Putrajaya itu tidak masuk akal dan lebih mengelirukan apabila dimaklumkan pada Fasa III, semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, kecuali aktiviti dalam senarai negatif yang mempunyai risiko tinggi menyebabkan penularan Covid-19.

“Adakah ini bermakna Parlimen yang merupakan lambang demokrasi negara diletakkan dalam senarai negatif sama seperti pub, spa dan salon kecantikan?” soal Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, strategi Pelan Pemulihan Negara merangkumi empat fasa, negara kini dalam Fasa I.

Beliau memberikan komitmen Parlimen boleh bersidang semula dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara, iaitu sekitar September atau Oktober.

Zahid mempersoalkan kaitan Parlimen dibenarkan bersidang semula dengan 40% populasi negara menerima dua dos vaksin, yang dianggarkan sekitar September atau Oktober ini, sedangkan semua Ahli Parlimen telah lama menerima vaksin Covid-19 dan sidang Parlimen sepatutnya selamat diadakan.

“Pihak manakah yang sebenarnya sengaja cuba menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat berkenaan prinsip demokrasi berparlimen?” soalnya.

Tambah beliau, Umno akan terus menggesa Parlimen kembali bersidang secepat mungkin sebagai tonggak demokrasi terpenting negara.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )