Yasin mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup, sebatan

Yasin mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup, sebatan

Kes pendakwaan terhadap penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman kerana menanam 17 pokok ganja kekal dilakukan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, berkata pertuduhan mengikut seksyen itu kekal berdasarkan laporan kimia yang diterimanya petang semalam.

“Kes pertuduhan ini kekal dan kita memohon tarikh sebutan kes untuk serah dokumen kepada pihak pembelaan,” katanya.

Susulan itu, Peguam Bela Yasin, Ariff Azami Hussein, berkata pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan berkenaan.

Mengikut pertuduhan itu jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara seumur hidup dan boleh disebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Pada 31 Mac lalu, Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan susulan pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a)ADB 1952 itu.

Muhammad Yasin juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama.

Sementara itu, Mohd Asnawi memberitahu Mahkamah Majistret perubahan pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 atau sebaliknya terhadap penyanyi itu kerana mengedar dadah masih disiasat.

“Arahan diterima daripada Jabatan Peguam Negara supaya kami buat siasatan lanjut terhadap laporan kimia berhubung pertuduhan itu.

“Kita memohon 6 Julai untuk ditaklimatkan mengenai hasil laporan itu,” katanya.

Majistret, Zhafran Rahim Hamzah, kemudian menetapkan tarikh sebutan kes sama seperti ditetapkan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )