Wanita UPKO gesa beri peluang wanita menjadi penggubal dasar

Wanita UPKO gesa beri peluang wanita menjadi penggubal dasar

Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan golongan wanita diberi peluang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Wanita UPKO, Mohina Ronnie Sidom berkata, meskipun jumlah pembabitan wanita dalam beberapa sektor pekerjaan melebihi sasaran 30 peratus, namun masih kurang diberi peluang menjadi pembuat keputusan dasar.

“Dalam politik misalnya, kita lihat sayap pergerakan wanita begitu aktif. Daripada perkara kecil seperti menyediakan makanan hingga menjadi perayu undi dan peranan lain yang membawa kemenangan kepada parti.

“Boleh dikatakan, wanita menjadi tulang belakang kepada kempen pilihan raya, tetapi apabila soal jawatan dalam parti sama ada di peringkat kampung, daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, wanita selalunya dipinggirkan,” katanya dalam kenyataan.

Mohina yang juga Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan berkata, perlu lebih ramai wanita menjadi penggubal dasar di negara ini kerana banyak undang-undang atau dasar berkaitan wanita perlu diberi perhatian termasuk kewarganegaraan anak, akta gangguan seksual dan isu berkaitan domestik rumah tangga.

“Dalam pelan pembangunan di negeri kita, kerajaan bukan hanya perlu merangka program atau belanjawan untuk wanita, tetapi perlu melibatkan wanita dalam proses perangkaan belanjawan, perancangan program hingga pelaksanaannya.

“Kita mahukan penyertaan menyeluruh wanita demi memperkasa peranan wanita di negeri ini,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )