Wan Saiful sifatkan Najib dan Asyraf sebagai ‘kluster merungut’

Wan Saiful sifatkan Najib dan Asyraf sebagai ‘kluster merungut’

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sengaja memetik kenyataan beliau secara separuh masak berkaitan kesan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Menurutnya, strategi yang digunakan itu dilihat sudah menjadi kebiasaan bagi kluster merungut.

“Mereka ini sengaja petik sekerat-sekerat untuk ubah topik. Sedangkan kita tahu selepas meneliti data yang terkini dan mencari keseimbangan antara kesihatan serta kesejahteraan ekonomi, ‘total lockdown’ telah diisytiharkan.

“Strategi mengubah topik ini juga sudah menjadi kebiasaan #klustermerungut. Tidak sukar kita fahami kenapa Najib Razak sebagai ketua perungut kebangsaan perlu sentiasa mengubah topik,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya pada Rabu.

Wan Saiful sebelum ini, memaklumkan keputusan kerajaan melaksanakan PKP penuh tepat apabila lekuk graf jangkitan Covid-19 mula melandai dalam masa beberapa hari sejak Sekatan Pergerakan Penuh dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu.

Beliau dilaporkan berkata, ia sekali gus menafikan segala tuduhan seolah-olah kerajaan tidak mempunyai rancangan terperinci.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )