Varian UK, India bergabung bentuk varian baharu

Varian UK, India bergabung bentuk varian baharu

Pihak berkuasa Vietnam mengesan varian baharu virus COVID-19 yang merupakan gabungan varian India dan UK serta tersebar melalui udara dengan pantas.

Menteri Kesihatan Vietnam, Nguyen Thanh Long menggambarkan varian baharu itu sebagai kacukan daripada dua varian yang diketahui sebelum ini.

Jelasnya, varian baharu itu merupakan varian India dengan mutasi yang asalnya daripada varian UK serta lebih berbahaya.

Selepas berjaya membendung virus tersebut hampir sepanjang tahun lalu, Vietnam menghadapi peningkatan jangkitan sejak akhir April.

Separuh daripada kes jangkitan keseluruhan sebanyak 6,856 dikesan pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan kematian mencecah 47 kes.

Negara Asia Tenggara sebelum ini telah mengesan tujuh varian COVID-19 antaranya B.1222, B.1.619, D614G, B.1.1.7, B.1.351, A.23.1 dan B.1.617.2.

Long berkata, Vietnam akan segera menerbitkan data penjujukan genom varian baharu dikenal pasti itu yang menurutnya lebih mudah tersebar daripada jenis yang diketahui sebelum ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenal pasti empat varian SARS-CoV-2 yang menjadi kebimbangan global.

Ini termasuk varian yang muncul pertama kali di India, Britain, Afrika Selatan dan Brazil.

Ketua Teknikal WHO untuk COVID-19, Dr. Maria Van Kerkove berkata, setakat ini pihaknya masih belum membuat penilaian mengenai varian virus yang dilaporkan di Vietnam.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )