Usul tidak percaya terhadap PM – Muhyiddin tumbang!

Usul tidak percaya terhadap PM – Muhyiddin tumbang!

Anggota parlimen AMANAH dijangka akan memfailkan usul tidak pecaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Ya. Saya akan hantar hari ini. Hari ni hari akhir. Lepas (solat) Jumaat sekejap lagi,” kata ahli Parlimen Pokok Sena, YB Mahfuz Omar dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Bin Mohd Yunus menggalakkan kesemua 11 Anggota Parlimen Amanah berbuat demikian.

Hasanuddin berkata, ia bagi menzahirkan bahawa ahli-ahli parlimen sudah hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin, lebih-lebih lagi setelah PN dilihat bertelingkah sesama sendiri.

“Bagi saya, yang penting kerajaan yang stabil. Memang kami nak ‘ambil balik ‘ kerajaan, tapi kami lebih mengutamakan kestabilan kerajaan dan ekonomi.

“Tapi bila dah bergaduh sesama mereka antara PN dan sekutu, menyerang secara terbuka, jadi dengan sendirinya kerajaan ini bagi saya sudah tak stabil. Jadi perlu untuk menukar perdana menteri dan kerajaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Dr Mahathir dan kesemua ahli parlimen dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memfailkan usul tidak percaya terbaharu terhadap Muhyiddin hari ini.

Menurut Ketua Penerangan Penaja Pejuang, Maszlee Malik, keputusan itu diambil kerana kegagalan perdana menteri mentadbir kerajaan sewaktu wabak Covid-19 dan juga keraguan terhadap bilangan majoriti yang diperolehinya.

Dalam pada itu, yang menarik perhatian sejak akhir-akhir ini, figura senior- Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah meminta usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri diberi keutamaan untuk dibahas pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, yang dijadual bermula 2 Nov ini.

Gesaan itu dibuat menerusi surat yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, pada 25 Sept lalu, yang dikongsi kepada media hari ini.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu berpandangan usul itu penting dalam menentukan Perdana Menteri mendapat kepercayaan Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Dari segi perlembagaan, tiada peruntukan dalam Tatacara Tetap (Standing Orders) yang boleh menghalang usul ini daripada dibentang di dewan yang mulia ini sebagai suatu keutamaan mendesak.” tegas beliau.

Beliau turut berkata tujuannya adalah untuk memaklumkan rakyat berhubung keadaannya kerana Perlembagaan Persekutuan adalah unggul.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah memaklumkan beliau telah menghantar surat berkenaan Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 15 Oktober lalu.

Bahkan, beliau turut melabelkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin sekarang “bagaikan telur di hujung tanduk”.

Usaha ini katanya demi menjunjung prinsip mengembalikan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan solidariti atas sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan stabil.

Nampaknya 23 September telah menjadi ‘turning point’ kepada figura politik Malaysia untuk mengembalikan mandat rakyat dan membina kembali kerajaan yang stabil, berkarisma dan berkredibiliti demi rakyat.

 

Berani Kerana Benar!!

Editor (Jom Channel.Net)

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
Disqus (0 )