Ustaz ‘Jari Tengah’ akur, berenti kuliah

Ustaz ‘Jari Tengah’ akur, berenti kuliah

Penceramah Ustaz Ahmad Husam Baderudin akur dengan arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) yang meminta beliau menghentikan kuliah dan ceramah di negeri itu.

Menurutnya, setelah berdakwah selama 17 tahun, beliau bersedia menamatkan khidmat dakwah selepas menyampaikan kuliah terakhir pada 19 Februari lalu di Masjid Al-Furqan Kampung Sungai Ular, Kulim.

“Itulah kuliah saya yang terakhir di bumi Kedah. Saya akur dengan arahan pihak berwajib walaupun saya memiliki dokumen kebenaran yang mengizinkan saya menyampaikan ceramah dan kuliah di Kedah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ahmad Husam yang juga anak kepada bekas Mufti Kedah itu reda dengan kehendak JHEAIK dan menyifatkan setiap yang bermula pasti akan berakhir.

“Saya akur dan taat, tidak pernah saya impikan perkara sebegini akan berlaku dalam hidup saya. Selama 11 tahun saya bersama jemaah Masjid Sungai Ular, hampir dua buah kitab kami khatam dan pelbagai cara diatur untuk meneruskan kuliah,” katanya.

Walaubagaimanapun, menurut figura yang lebih dikenali dengan nama Ustaz Jari Tengah itu, sehingga kini beliau belum menerima surat pemakluman daripada JHEAIK.

“Saya hanya membaca surat bertarikh 10 Februari itu selepas tular di media sosial. Saya akan hentikan semua kuliah dan ceramah di seluruh negeri ini bagi mematuhi arahan pihak berwajib,” katanya.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )