Umum PKPB seluruh Selangor: Kerajaan PN tidak profesional

Umum PKPB seluruh Selangor: Kerajaan PN tidak profesional

Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri  mengejutkan Kerajaan Negeri, kata Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kerajaan Negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula,” ujarnya dalam satu kenyataan.

“Kerajaan Negeri juga sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif melibatkan semua pihak agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana,” tegasnya.

Kenyataan Menteri Besar Selangor itu secara tersirat mengkritik Kerajaan Persekutuan yang tidak menjemput Selangor dalam mesyuarat Khas Majlis Keselamatan negara yang diadakan baru-baru ini.

Tindakan yang sama seperti Mac lalu, iaitu semasa fasa pertama perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri PAKATAN HARAPAN, Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin mengecam sifat kerajaan pusat yang membuat langkah kerana perbezaan garis politik.

Beliau juga mengungkit mengenai keputusan meletakkan Klang di bawah PKPB Klang sebelum ini.

Menurut beliau tindakan pihak kementerian tidak memberi maklumat yang jelas itu seolah-olah tidak faham akan perbezaan antara Daerah Klang atau Majlis Perbandaran Klang.

“Inilah masalahnya bila tidak mahu berkomunikasi dengan Kerajaan Negeri!,” sindirnya.

Beliau menyifatkan Kerajaan PERIKATAN NASIONAL tidak bertindak secara profesional, yang akan menyusahkan semua pihak.

“Sebagai sebuah Kerajaan, kita bukan sahaja perlu menyelesaikan masalah, malah masalah perlu diselesaikan dengan cara yang berkesan, efisien, pantas dan paling penting, berprofesional.

“Ciri-ciri ini langsung tidak dipamerkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

Makluman: Artikel ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi JOMChannel.Net

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )