UMNO syor buka Parlimen dan tamatkan Darurat

UMNO syor buka Parlimen dan tamatkan Darurat

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar tempoh darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini tidak disambung dan meminta supaya Parlimen dibuka segera bagi membolehkan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan.

Cadangan itu disuarakan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi tadi.

“Umno membawa suara rakyat yang rata-ratanya resah dan gelisah menghadapi Covid-19 sehingga menjejaskan mata pencarian dan ekonomi mereka,” katanya kepada media di luar pintu Istana Negara selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Zahid berkata Umno juga memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen boleh menjadi platform untuk membangkitkan ketidakpuasan hati dan kegusaran rakyat mengenai kenaikan kos sara hidup dan harga barang yang dihadapi oleh rakyat ketika ini.

Beliau berkata, turut dibangkitkan ialah desakan supaya kerajaan meneruskan pelbagai bantuan termasuk moratorium pinjaman secara automatik kepada peminjam bukan hanya untuk golongan berpendapat rendah semata-mata, malah merangkumi kumpulan M40 dan T20 yang turut terkesan akibat penularan Covid-19.

“Saya juga membangkitkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa kerajaan perlu menyediakan pelbagai insentif bukan hanya untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) malah menggalak pelaburan tempatan untuk melabur di negara ini pada masa depan,” katanya

Dalam pada itu Zahid turut mengesahkan beliau tidak membincangkan mengenai penubuhan MAGERAN ketika pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )