UMNO desak PRU segera, sombong dan penting diri

UMNO desak PRU segera, sombong dan penting diri

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kecenderungan UMNO untuk mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada kadar segera memperlihatkan parti itu tidak mengambil peduli situasi rakyat dan negara yang masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19.

Ia jelas membuktikan bahawa parti itu menggunakan pilihan raya sebagai muslihat terakhir untuk merebut lebih banyak kuasa dengan mengorbankan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Jangan ingat kemenangan di Melaka, UMNO mampu meraih undi rakyat. Kalau dikira peratusan undi popular Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini berbanding PRU14 lalu, peningkatannya cuma 0.5 peratus saja.

“Jadikan iktibar PRN di Sabah sebelum ini yang menyebabkan kes jangkitan wabak Covid-19 meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan beribu nyawa rakyat menjadi korban akibat kerakusan dan ketamakan kuasa oleh pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook rasminya pada Rabu.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga mengingatkan bahawa terdapat jangkaan gelombang kes Covid-19 akan berlaku bulan depan.

Justeru, beliau mengharapkan kepimpinan UMNO untuk berpegang kepada perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan sebelum ini.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan pandangan agar PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada BN.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )