UMNO ‘back up’ PM, Mahiaddin ditempelak

UMNO ‘back up’ PM, Mahiaddin ditempelak

Pemuda UMNO Melaka menempelak kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin yang mendakwa Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob gagal menguruskan ekonomi dan negara.

Naib Ketua Pemudanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, seharusnya individu itu menilai dan meneliti terlebih dahulu kenyataan tersebut lebih-lebih lagi mereka di dalam satu pasukan sama.

Menurutnya, perkataan kegagalan itu sepatutnya dipulangkan kepada Mahiaddin yang memegang jawatan sebagai Menteri Ekonomi selain Nenteri-menteri Kanan yang dipilih daripada parti beliau sendiri.

“Kalau membelasah satu pasukan gagal, maka semuanya gagal, bila Tan Sri kata PM gagal sepatutnya kegagalan itu dipulangkan kepada Tan Sri juga.

“Saya nasihatkan pada saat-saat hujung ini janganlah berpolitik yang melampau, rakyat dah boleh menilai,” kata beliau.

Muhamad Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah berkata, ‘kegagalan’ yang dilakukan Perdana Menteri adalah tidak melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlalu banyak berbanding Mahiaddin sehinggakan pembangunan ekonomi terencat pada ketika itu.

Menurut beliau, Ismail Sabri telah menunjukkan ekonomi di tahap yang baik dan ekonomi negara semakin meningkat meskipun ketika dunia sedang mengalami kegawatan ekonomi teruk.

“PM telah melakukan tugas sangat baik dan amanah sangat bagus, ini menunjukkan satu perubahan yang positif kepada rakyat berbanding Tan Sri dulu,” kata beliau lagi.

Mahiaddin semalam, menerusi hantaran Facebooknya berpendapat sekiranya Ismail Sabri terus gagal menguruskan ekonomi dan negara, sebaiknya pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )