TMJ tinggalkan JDT

TMJ tinggalkan JDT

“Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua.”

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat pengumuman mengejut memaklumkan beliau meninggalkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Khamis.

Pengumuman berkenaan dibuat pemilik Kelab Bolasepak JDT itu melalui satu hantaran dalam Facebook rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers sebentar tadi.

“Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan yang diambil Tunku Ismail itu jelas mengejutkan penyokong, namun berdasarkan maklum balas dalam media sosial, keputusan tersebut dipercayai berkait rapat dengan pentadbiran negeri Johor.

Sepanjang tempoh hampir 10 tahun, pelbagai kejayaan demi kejayaan yang diraih pasukan Harimau Selatan itu dirangkul dengan mula memenangi gelaran Liga Super pada 2014.

Sejak itu, gelaran Liga Super sebagai perlawanan paling berprestij di Malaysia tidak pernah berpindah tangan apabila JDT muncul juara saban tahun bagi lapan musim berturut-turut.

Kejayaan JDT pada 2015 antara yang tidak boleh dilupakan ketika pasukan kendalian Mario Gomez ketika itu memenangi Piala AFC, sekali gus menjadi kelab pertama tanah air memenanginya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )