Timbalan Menteri Agama terlalu defensif isu jenayah agamawan

Timbalan Menteri Agama terlalu defensif isu jenayah agamawan

Ketua Awan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim dalam kenyataannya berkata, reaksi yang ditunjukkan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary yang mengingatkan media supaya tidak mensensasikan kes jenayah yang dikaitkan dengan golongan agama amat mengecewakan.

Ini kerana ia dilihat sebagai satu cubaan melindungi penjenayah hanya kerana status mereka bergelar agamawan.

“Di manakah pembelaan terhadap mangsa, wanita atau lelaki yang biasanya mengalami trauma yang mendalam akibat jenayah yang berlaku ke atas mereka,” kata beliau dalam satu kenyataannya membalas kenyataan Ahmad Marzuk itu.

Antara yang ditahan dan dibawa ke mahkamah kerana didakwa terlibat dalam jenayah seksual adalah seorang penceramah Pas dan juga seorang pendakwah selebriti.

“Tidak dinafikan secara prinsipnya seseorang itu tidak dikira bersalah selagi tidak dibuktikan oleh mahkamah bahawa dia bersalah dan ini terpakai untuk semua kes bukan hanya untuk agamawan.

“Namun ada beberapa prinsip lain yang tidak kurang penting seperti pencegahan lebih baik dari merawat dan tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain yang perlu diambil kira,” kata beliau.

Katanya, dalam kes-kes jenayah seksual membabitkan agamawan dan selebriti yang mengajar dan menjadi ikutan ramai, pihak berkuasa perlu bertindak lebih tegas melakukan usaha mencegah mereka daripada membahayakan dan menjadi ikutan masyarakat awam.

“Perbuatan mereka tidak ubah seperti harapkan pegar, pegar makan padi,” katanya.

Justeru Awan Negeri Kelantan menggesa agar pihak berkuasa mengambil langkah tegas menggantung tauliah mengajar agamawan yang dituduh terlibat dengan jenayah seksual sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Adalah lebih baik kita tidak defensif bila berhadapan isu jenayah seksual yang semakin meruncing dalam masyarakat.

“Sebaliknya marilah kita berganding bahu mengemukakan langkah konkrit pencegahan dan perawatan termasuk rehabilitasi penjenayah dan pemandiri jenayah seksual.

“Semoga kita dapat menghentikan jenayah seksual sekaligus melahirkan masyarakat sejahtera yang percaya kepada Tuhan, menjaga kesopanan dan kesusilaan,” kata beliau.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )