Terima suapan UKSB: Tidak mungkin ada maklumat terperinci ketika pertuduhan difailkan

Terima suapan UKSB: Tidak mungkin ada maklumat terperinci ketika pertuduhan difailkan

Merujuk keterangan saksi dalam kes menerima suapan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dihadapi Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut mengaitkan beberapa lagi pemimpin negara, bekas Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, tidak mungkin untuk pihaknya mempunyai maklumat terperinci sedemikian ketika pertuduhan difailkan.

Sebaliknya, beliau berkata, maklumat mikro seperti lejar rahsia UKSB yang mengandungi nama kod dan butiran dakwaan pembayaran wang kepada beberapa pemimpin antara 2014 dan 2018, hanya akan muncul dalam perbicaraan beberapa tahun kemudian.

Menegaskan beliau tidak terkejut dengan pendedahan dibuat di mahkamah walaupun lewat, Tommy berkata, sama ada kes sivil mahupun jenayah, perbicaraan akan menghasilkan bukti yang memeranjatkan, sekali gus tiada sesiapa yang boleh benar-benar bersedia untuk sebarang perbicaraan.

“Jumlah bukti, volum pembuktian dan intensiti kes jadi lebih jelas semasa perbicaraan, bukan pada peringkat di mana anda memfailkan pernyataan tuntutan dalam kes sivil atau apabila anda membuat pendakwaan,” katanya.

Terdahulu, beliau ditanya sama ada wujud pendakwaan terpilih ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini kerana ahli politik yang dinamakan dalam keterangan saksi pada perbicaraan kes terhadap Ahmad Zahid, tidak didakwa bersama Presiden UMNO itu.

Tommy berkata, secara peribadi, beliau tidak tahu semua maklumat berkenaan ketika membuat keputusan mendakwa tertuduh dalam kes itu dan kertas siasatan mungkin mempunyai maklumat yang tidak terperinci melainkan hanya menyatakan cadangan kes ‘prima facie’ untuk menjalankan pendakwaan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )