Tarikh PRU15 dibincang dalam mesyuarat Kabinet hari ini

Tarikh PRU15 dibincang dalam mesyuarat Kabinet hari ini

Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) antara topik dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, selain tumpuan kepada persediaan menghadapi banjir.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Shahidan Kassim mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Ini kerana beliau berkata perkara berkaitan pembubaran Parlimen dan pilihan raya berada dalam bidang kuasa Perdana Menteri.

“Perbincangan itu ada, membabitkan macam-macam isu, kita bincang dengan panjang lebar mengenai persiapan menghadapi banjir untuk bulan-bulan akan datang, Oktober, November dan Disember,” katanya kepada wartawan.

Isnin lalu Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan untuk mengadakan PRU15 dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau sebelum ini diasak pelbagai pihak untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 dijalankan selepas dua kali perubahan kerajaan berlaku sejak PRU sebelum ini yang menyaksikan tiada parti politik memperoleh kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat.

Sabtu lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO, menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )