Tangguh dengar rayuan SRC : Mahkamah tolak permohonan Najib

Tangguh dengar rayuan SRC : Mahkamah tolak permohonan Najib

Rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd diteruskan hari ini selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menangguhkan pendengarannya.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu selepas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa mereka mempunyai bukti tambahan untuk dimasukkan dalam rayuan mereka termasuk keterangan berkaitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Terdahulu, Muhammad Shafee berkata, mereka memerlukan sekurang-kurangnya penangguhan selama sebulan untuk mendapatkan dokumen berkaitan dari New York dan Singapura.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram membantah permohonan itu dengan berkata mereka (pemohon) seharusnya mengemukakan permohonan lebih awal sebelum pendengaran rayuan itu bermula.

Najib telah mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya tentang mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhi Najib hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, pecah amanah dan pengubahan wang haram, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )