Syarat longgar punca seleweng PENJANA

Syarat longgar punca seleweng PENJANA

Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim, berpandangan syarat longgar ditetapkan kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menjadi punca pihak tidak bertanggungjawab termasuk majikan mengambil kesempatan mengemukakan tuntutan palsu.

Beliau berkata suspek mengambil kesempatan terhadap syarat sedemikian dengan menggunakan dokumen mengandungi maklumat pekerja dan program latihan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Katanya, hasil siasatan mengesahkan individu yang didakwa sebagai kakitangan kepada syarikat suspek tidak dapat dibuktikan dan program latihan juga tidak dilaksanakan sepenuhnya sebagaimana tuntutan.

“Jumlah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan untuk program PENJANA adalah RM3.5 bilion dalam tiga peringkat iaitu, PENJANA KERJAYA 1.0, PENJANA KERJAYA 2.0 dan PENJANA KERJAYA 3.0 iaitu dari 15 Jun 2021 sehingga 31 Disember 2023.

“Objektif pemberian dana ini oleh kerajaan adalah untuk merangsang ekonomi ketika tempoh pendemik COVID-19 melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan Pekerja.

“Dalam kes ini, suspek dikesan mengambil kesempatan atas syarat longgar yang ditetapkan kerajaan dengan mengemukakan permohonan mendapatkan dana PENJANA menggunakan dokumen palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishamuddin berkata, Ops Hire yang dijalankan SPRM membabitkan kolaborasi strategik bersama PERKESO sudah digerakkan sejak Julai lalu dan dilaksanakan di beberapa negeri di Semenanjung.

Katanya, fokus siasatan adalah terhadap syarikat yang disyaki melakukan jenayah dan ramai lagi suspek dijangka akan didakwa dalam masa terdekat selepas siasatan ke atas mereka diselesaikan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )