Sultan Selangor tegur pemimpin Melayu

Sultan Selangor tegur pemimpin Melayu

Melalui satu kenyataan yang dikongsikan Selangor Royal Office, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu, terutama pemimpin politik Melayu.

Baginda bertitah, perbalahan dalam kalangan pemimpin politik Melayu yang dilihat begitu ketara ketika ini, boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di negara ini.

“Beta tidak berhasrat mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara, walau bagaimanapun beta merasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan, di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan.

“la bagi menjamin agar kepentingan masyarakat Melayu dapat dipelihara tanpa mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di negara ini,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan serta kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil dan jika pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu.

“Di samping mengamalkan sikap kepimpinan yang baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum,” titah baginda.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )