SRC: Rayuan akhir Najib didengar Ogos ini

SRC: Rayuan akhir Najib didengar Ogos ini

SRC: Rayuan akhir Najib didengar Ogos ini

Rayuan akhir Dato’ Sri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd akan didengar Mahkamah Persekutuan selama 10 hari bermula 15 hingga 26 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan melalui notis yang ditandatangani Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Hafizullaah Omar bertarikh 29 April lalu yang dihantar kepada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Kedua-dua belah pihak juga diarahkan oleh mahkamah untuk mengemukakan hujahan bertulis mereka selewat-lewatnya pada 31 Julai ini.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta.

Pada 8 Disember tahun lalu, Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )