SPRM digesa siasat isu rampasan tanah Kampung Sungai Baru

SPRM digesa siasat isu rampasan tanah Kampung Sungai Baru

Khalid Abdul Samad mengesyaki ada unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa berlaku dalam isu penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Ini kerana Akta itu digunakan untuk memaksa pemilik menyerahkan tanah mereka untuk dimajukan oleh pemaju membangunkan projek komersial yang tidak dipersetujui oleh mereka.

Justeru, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan dalam isu ini.

“SPRM kena ambil tahu apa yang berlaku, tidak mustahil bila nampak kerajaan, Menteri dan PKB ghairah sangat untuk gunakan Akta bagi mengambil tanah ini, ada unsur rasuah,” kata beliau dalam sidang media bersama pemilik tanah Kampung Sungai Baru semalam.

Dalam sidang media itu juga, Ahli Parlimen Shah Alam itu juga mencadangkan agar pemilik atau mana-mana pihak membuat laporan kepada SPRM dan juga polis untuk menyiasat perkara ini.

“Kami cadangkan dua perkara dalam libat urus 7 Jun lepas. Pertama batalkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah dalam isu ini kerana jika ia diteruskan, tiada makna rundingan ini kerana akta ini akan dipaksakan ke atas penduduk.

“Yang kedua kami bawa penilaian yang dibuat oleh penilai bebas dan kami menuntut tanah kami dibeli dengan nilai RM1500 sekaki persegi,” kata wakil pemilik tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru itu.

Pemilik tanah Kampung Sungai Baru hanya ditawarkan RM450 sekaki persegi oleh pemaju.

Khalid dalam sidang media itu bersetuju dengan kadar penilai bebas itu kerana semasa kerajaan Pakatan Harapan mahu mengambil tanah di bawah Malay Agriculture Settlement (MAS) yang mempunyai pelbagai sekatan pun, nilai yang kerajaan tawarkan adalah RM1,000 sekaki persegi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )