Selesaikan masalah atau tempuh kegagalan

Selesaikan masalah atau tempuh kegagalan

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, beberapa pakar dari agensi kerajaan akan memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara pada Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang dijadualkan berlangsung pada 2.30 petang ini.

Mengulas lanjut, Veteran UMNO, Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai Ku Li berkata, pada masa ini negara menghadapi krisis bertubi-tubi yang tidak pernah berlaku sebelum ini seperti sistem ekonomi merudum dan mengalami krisis berkaitan keperluan asas seperti bekalan makanan, keadaan kesihatan serta isu keselamatan.

Tegas beliau, negara mempunyai dua pilihan dalam menghadapi krisis sekarang ini sama ada menghadapinya dan menyelesaikan kesemua masalah atau menempuh kegagalan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berpendapat Raja-raja Melayu bertanggungjawab memainkan peranan keperlembagaan yang dianggap penting ketika negara berada dalam keadaan genting.

Menurut beliau, peranan itu timbul selaras dengan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-raja Melayu yang memilih Seri Paduka Baginda mewakili Majlis Raja-raja Melayu dan ia wujud selaras dengan sumpah jawatan terbabit.

“Tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahupun pertimbangan peribadi.

“Pemimpin tersebut semestinya mempunyai kemampuan, keupayaan, visi dan pemahaman mendalam mengenai keadaan semasa demi memimpin kerajaan yang mampu membantu kita mengatasi keadaan teruk yang melanda rakyat sekarang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )