Saya diarah pantau Mazlina – Saksi

Saya diarah pantau Mazlina – Saksi

Bekas Setiausaha Akhbar, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tahu mengenai kewujudan cop tandatangan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang berada dalam kawalan dan pegangan Setiausaha Eksekutifnya.

Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican yang membacakan pernyataan saksinya, berkata, cop berkenaan bagaimanapun terhad hanya kepada urusan cop sijil dan kad perayaan membabitkan Ahmad Zahid.

Menurut Fadzlette yang juga saksi kedua pembelaan, ia adalah kerana beliau pernah membawa beberapa sijil penghargaan kepada Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly (Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid ketika itu) untuk dicop menggunakan cop tandatangan milik Ahmad Zahid atas arahan ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Ketika membela diri Mei lalu, Ahmad Zahid berkata, Mazlina menggunakan cop tandatangannya pada cek Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit persendirian milik beliau dan isteri (Datin Seri Hamidah Khamis) tanpa pengetahuannya, sebaliknya cop itu sepatutnya digunakan untuk sijil penghargaan dan kad perayaan.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak pernah membenarkan Mazlina untuk menggunakan cop tandatangan atau cek pratandatangan bagi tujuan pembayaran kad kredit peribadi atau polisi insurans kenderaan miliknya.

Sementara itu, Fadzlette berkata, beliau tahu mengenai isu kecuaian yang dilakukan Mazlina yang lain, antaranya berkaitan kesilapan dalam pengendalian akaun peribadi Ahmad Zahid.

“Saya tahu hal ini kerana Dato’ Seri Zahid pernah memaklumkan kepada saya dan mengarahkan saya untuk memantau tindakan Mazlina kerana pangkat saya yang lebih tinggi di dalam angkatan tentera.

“Mengenai isu ini, saya pernah memaklumkan Mejar Mazlina mengenai pesanan Dato’ Seri dan pernah meminta untuk ditunjukkan penyata kad kredit dan cek yang disediakan sebelum dibawa untuk ditandatangani oleh Dato’ Seri.

“Walau bagaimanapun, Mejar Mazlina sentiasa memberikan pelbagai alasan dan helah dan tidak pernah menunjukkan kepada saya apa yang diminta. Perkara ini berterusan dan ada kalanya disebabkan tugasan rasmi berterusan, saya terlepas pandang untuk memantau dan mengambil tindakan susulan ke atas Mejar Mazlina berhubung perkara ini,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )