Satu lori pekerja kilang positif Covid-19 ditahan

Satu lori pekerja kilang positif Covid-19 ditahan

Sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong, dikesan membenarkan sekumpulan pekerjanya yang positif Covid-19 menaiki lori beramai-ramai sebelum mereka ditahan petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, seramai 48 pekerja yang baru dipakaikan gelang merah jambu didapati menaiki lori untuk pulang ke asrama penginapan mereka.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, terdahulu video dan beberapa gambar sebuah lori tular di laman sosial menyebabkan polis berusaha mengesannya.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda kemudian mengambil tindakan mengesan lori terbabit sebelum berjaya menahan kenderaan itu yang dalam perjalanan pulang ke Sungai Lalang.

“Hasil siasatan mendapati terdapat kes positif dikesan di sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong dan seramai 135 pekerja diarah ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda bagi dipakaikan gelang merah jambu.

“Dipercayai, majikan kilang berkenaan mengatur tiga kali perjalanan lori terbabit untuk membawa kesemua 135 pekerja yang positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemandu lori itu kemudian disaman kerana kesalahan mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan lesen kenderaan memandu (LKM) bagi tujuan lain.

Pihak pengurusan kilang turut disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta 342 kerana kesalahan tidak mematuhi perintah yang dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )