Sanusi didesak mohon maaf

Sanusi didesak mohon maaf

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf secara terbuka kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, tuduhan Muhammad Sanusi mengatakan cadangan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal bagi mengelakkan sesetengah individu daripada dipenjara adalah tuduhan berniat jahat dan melampau.

“Kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang menjadi pemimpin negeri hasil ihsan sokongan daripada UMNO dan BN.

“Bagi menghormati persahabatan di antara parti di dalam Muafakat Nasional, eloklah jika beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada ahli UMNO dan BN,” katanya.

Menurutnya, sebagai pemimpin kerajaan negeri, beliau seharusnya tahu bahawa institusi kehakiman tiada kaitan dengan badan eksekutif serta legislatif yang mempunyai pengasingan kuasa masing-masing dan ia harus dihormati semua pihak.

“Kita boleh berbeza pandangan dan pendapat secara matang. Tetapi bersifat biadap serta menabur tuduhan tidak berasas adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Maka kami desak, mohon maaflah,” katanya.

Sabtu lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Malaysia akan hancur sekiranya rakyat memilih ‘satu atau dua pemimpin gila kuasa’ yang hanya mahu menyelamatkan diri mereka untuk mentadbir negara.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )