RUU Antilompat: Tidak memenuhi tuntutan sepenuhnya tapi permulaan yang baik

RUU Antilompat: Tidak memenuhi tuntutan sepenuhnya tapi permulaan yang baik

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dibentangkan hari ini tidak sepenuhnya memenuhi tuntutan atau usul Pakatan Harapan (PH).

Namun, pihaknya menganggap ia merupakan satu permulaan yang sangat bermakna dan bersejarah.

“Kerana kesannya bukan sahaja dari segi undang-undang perlembagaan tetapi pengertian moral, integriti Ahli Parlimen yang tidak dianggap sebagai penjual maruah dan khianat kepada amanah,” katanya.

Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang berkata, dengan pembentangan RUU ini, maruah politik negara dapat dikembalikan.

“Kalau Yang Berhormat kaji daripada Wikipedia, Malaysia terus naik di antara negara yang melahirkan Ahli-ahli Parlimen tidak berprinsip dan khianat serta boleh menggadai prinsip mereka seperti apa yang berlaku dalam ‘Langkah Sheraton’,” tegasnya.

Menurutnya, ikhtiar terbaharu ini juga adalah percubaan untuk menghindari daripada perkara ini berterusan.

“Kalau perkara ini berlaku dan dibenarkan, orang yang ‘maha kaya’ atau ‘maha berkuasa’ boleh menentukan corak kerajaan semata-mata kerana wang ringgit mereka atau kerana kuasa yang ada pada mereka dan janji politik yang tidak ada penghormatan,” ujarnya.

Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson ini menambah, pindaan perlembagaan ini berlaku kerana ada kesilapan besar di dalam sistem dan semua pihak mengakuinya.

“Ada lompongan dalam sistem yang membolehkan ahli-ahli politik itu jadi bahan dagangan dijual dengan harga atau kedudukan.

“Dan ini saya katakan sekali lagi menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terutama orang muda terhadap ahli politik dan sistem politik,” tegasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )