Rina dah mula jual minyak, ‘offer’ khemah niaga percuma dan kerusi roda di Sepang

Rina dah mula jual minyak, ‘offer’ khemah niaga percuma dan kerusi roda di Sepang

“Nak tambah pendapatan? Nak berniaga? Tapi tiada khemah? Jom kami bantu anda!” terpampang di poster itu juga gambar khemah tersebut dengan ‘bercopkan’ – “Sumbangan YB Datuk Seri Rina Mohd Harun”.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ketua Srikandi BERSATU Sepang telah mula ‘menjual minyak’ dengan “Prihatin Usahawan Sepang” menawarkan khemah percuma buat penduduk di Parlimen tersebut.

“Ada keluarga sakit? Ibu? Ayah? Atau adik-beradik? Perlukan kerusi roda?”.

Itu juga antara kapsyen tertera pada poster ‘Kasih Prihatin Sepang’. Poster dengan ungkapan “inisiatif Datuk Seri Rina Mohd Harun” itu dikongsikan di Facebook rasmi beliau.

Terpampang sama lambang Perikatan Nasional (PN), poster itu juga lengkap dengan Kod QR bagi tujuan pendaftaran untuk ‘inisiatif’ tersebut.

Walaupun rata-rata komentar bagi kedua-dua hantaran di Facebook wanita berkenaan dua program itu memuji, ada juga respons bernada sindiran.

Tumpuan Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu di Sepang seolah-olah mengesahkan spekulasi dia akan menjadi calon di kerusi Parlimen itu pada PRU15.

Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa yang ketika itu mewakili Pakatan Harapan (PH) menerusi BERSATU juga baru-baru ini menyerahkan bot penyelamat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang serta berjumpa dengan ratusan masyarakat India kawasan itu sempena program Deepavali.

Akhir tahun lalu, nama Rina ‘meletup’ apabila menjadi bahan sindiran orang ramai sehingga sohor kini di Twitter ekoran aksinya menggunakan penyembur air (water jet) pada lantai yang tiada lumpur banjir.

Sebelum itu, penampilan Rina dengan tubuh yang langsing dengan kelihatan semakin muda, bergaya dan jelita meraih perhatian warganet.

Namun, dia kemudiannya dikecam netizen sama ada mahu jadi model atau Menteri selepas seorang pereka fesyen berkongsikan beberapa gambar di sebalik tabir photoshoot menerusi Instagram menunjukkan Rina mengenakan busana baju kurung.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )