Ratusan surat telah Beta terima daripada rakyat Beta yang merintih…

Ratusan surat telah Beta terima daripada rakyat Beta yang merintih…

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah Baginda menerima ratusan surat daripada rakyat yang merintih agar perubahan dapat dikecapi segera bagi meneruskan kelangsungan hidup seharian.

Sultan Abdullah bertitah negara dan rakyat terlalu lama dibelenggu dengan masa depan kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.

“Ratusan pucuk surat telah Beta terima daripada rakyat Beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” kata Baginda ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14.

Baginda juga menasihatkan semua Ahli Parlimen untuk tidak meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan bagi mencapai agenda tertentu dan kembali fokus dengan usaha memerangi Covid-19 serta mengembalikan sinar pada rakyat dan negara.

“Nasihat Beta pada semua Ahli-ahli berhormat jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat Beta sebagai taruhan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru ingin Beta seru Ahli-ahli berhormat untuk kembalikan fokus usaha memerangi Covid-19 serta membawa kembali sinar pada rakyat Beta dan negara,” kata baginda.

Baginda juga menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang dalam melibatkan diri dalam tadbir urus negara selain menghargai usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama dwi-partisan antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baharu dalam sistem pentadbiran negara.

 

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )