Rasuah Malaysia di tahap bahaya, negara kaya boleh jadi mundur – Sultan Nazrin

Rasuah Malaysia di tahap bahaya, negara kaya boleh jadi mundur – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titahnya menyifatkan, amalan rasuah di negara ini berada pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran laporan Ketua Audit Negara (KAN) secara berulang kali dan pelbagai penemuan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Atas dasar itu titah Baginda, semua pihak tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian dan memikirkan segala justifikasi bagi menidakkan kewujudan rasuah di hadapan mata.

Titah Baginda, semua pihak wajib bersifat berani mengakui, berhubung realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran dan penemuan berkenaan.

Ini kerana menurut Baginda, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma sebelum meresap menjadi budaya yang akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa apabila tiada kesungguhan membanteras jenayah itu.

“Daripada 180 buah negara yang dilakukan penilaian oleh Transparency International (TI), Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, mencatat skor 52 pada tahun 2020, kepada kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021. Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

“Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” titah Baginda.

Titahnya, rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara.

“Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran.

“Ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna, hasil mahsul lesap. Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak,” titahnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )