Ramasamy, berhati-hatilah bila bercakap

Ramasamy, berhati-hatilah bila bercakap

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menegaskan bahawa UMNO tidak ‘pelahap’ untuk bersama dengan DAP kalau bukan kerana Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, perlu diingat hubungan di antara UMNO dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan adalah atas nama PH dan bukannya dengan DAP.

“Kesediaan UMNO untuk bersama PH bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan demi menunaikan titah Agong setelah PH dan PN gagal menubuh kerajaan.

“UMNO telah bersedia untuk jadi pembangkang tetapi memikirkan kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy yang membayangkan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sebagai ‘beban’ bukan hanya kepada parti itu, tetapi juga buat Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

“Kami ingin bertanya kepada Samy (Ramasamy) berapa ramai pengundi India di negara ini yang mampu memberi undi kepada calon India dan boleh menang tanpa sokongan kaum Cina dan Melayu?.

“Beliau berani bercakap sombong seperti itu kerana dia bertanding di Pulau Pinang dan menang dengan sokongan pengundi Cina.

“Nasihat saya kepada Samy berhati-hatilah bila bercakap. Bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar,” ujarnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )