Rakyat Selangor diseru daftar Program Selangor Saring

Rakyat Selangor diseru daftar Program Selangor Saring

Kerajaan Negeri Selangor bakal melaksanakan Program Selangor Saring yang bertujuan bagi melakukan pengesanan awal penyakit. Saringan kesihatan membolehkan individu menjalani rawatan penyakit sedari awal sekaligus membantu meningkatkan peluang individu untuk sembuh.

Melalui kenyataan media, YB Dr Siti Mariah Binti Mahmud selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor berkata, melalui Belanjawan Selangor 2022, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 3.4 juta bagi Program Selangor Saring dengan sasaran seramai 39 ribu penerima manfaat di kesemua 56 DUN di negeri ini. Program Selangor Saring menawarkan saringan kesihatan bagi tiga kategori penyakit berikut:

  1. Penyakit tidak berjangkit termasuklah penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.
  2. Penyakit kanser termasuklah kanser kolorektal, prostat, serviks dan payudara.
  3. Penyakit berkaitan mata seperti rabun, glaukoma dan retina.

Oleh itu, Kerajaan Negeri menyeru agar penduduk negeri Selangor yang mempunyai faktor-faktor risiko (seperti sejarah keluarga, berat badan berlebihan, gaya hidup tidak sihat dll) serta mereka yang masih belum dikenal pasti oleh doktor mempunyai penyakit dinyatakan untuk mendaftar ke Program Selangor Saring.

“Pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah bermula 16 Mei 2022. Setiap pemohon perlu melengkapkan borang saringan awal ketika proses pendaftaran yang bertujuan untuk mengenal pasti latar belakang serta faktor risiko pemohon.

“Individu yang layak akan menerima baucer untuk menjalani saringan kesihatan tanpa sebarang bayaran di lokasi dan tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Maklumat lanjut bekenaan Program Selangor Saring boleh didapati melalui laman sesawang selangorsaring.selangkah.my. Sebarang isu berkaitan pendaftaran boleh diajukan ke talian hotline Selcare 1-800-22-6600 atau talian hotline Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) yang boleh didapati menerusi laman sesawang https://drsitimariah.com/talian-suka/.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )