Rakyat sedang terhimpit, AMANAH desak tangguh kenaikan tarif elektrik

Rakyat sedang terhimpit, AMANAH desak tangguh kenaikan tarif elektrik

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), mendesak kerajaan supaya menangguhkan sebarang bentuk kenaikan tarif elektrik sehingga krisis kekurangan bekalan yang menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan pulih kembali.

Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, gesaan itu dibuat bagi melindungi rakyat yang berdepan dengan beban kewangan yang tinggi ketika ini.

Beliau berkata, tarif elektrik dijangka naik mulai 1 Julai susulan Tenaga Nasional Berhad (TNB), seperti mana syarikat tenaga yang lain di seluruh dunia sedang dihimpit oleh kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117 peratus sejak hujung tahun lalu.

“Namun, kenaikan tarif elektrik pada saat pengguna sudah teruk diasak kenaikan harga barang keperluan lain pastinya sangat tidak wajar.

“Malah, sebarang peningkatan dalam kos tenaga elektrik pasti akan menyumbang kepada kenaikan kos operasi dan pengeluaran yang akhirnya akan turut ditanggung pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, TNB sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi dengan keuntungan terkumpul lebih RM52 bilion pastinya mampu untuk menyerap impak kenaikan kos bahan api dan kos operasi mereka.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )