Rakyat marah, kerajaan tak perlu tanya

Rakyat marah, kerajaan tak perlu tanya

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan majoriti rakyat marahkan kerajaan ketika bencana banjir buruk berlaku di Malaysia hujung tahun lalu dan awal tahun ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, rakyat rata-ratanya marah dengan bantuan yang lambat tiba dan koordinasi menyelamat oleh pihak berkuasa waktu itu yang tidak selari.

Justeru, katanya, kerajaan tidak perlu bertanya kepada rakyat sama ada mereka marah atau tidak sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat semasa musim banjir.

“Tak perlu tanya rakyat. Lihat sendiri banjir lepas. Bila bantuan sampai lambat, bila Menteri senang-lenang adakan majlis potong kek.

“Ada rakyat yang terperangkap dalam rumah untuk beberapa hari. Ada yang kena selamatkan diri duduk atas bumbung. Ada juga yang maut bila nak cuba selamatkan diri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Syed Saddiq menjelaskan, dalam keadaan genting itu, nyawa rakyat ibarat berada di hujung tanduk dan hanya mampu menunggu untuk diselamatkan.

Berikutan itu, beliau meminta, kerajaan menggunakan akal yang waras atau ‘common sense’ dalam menentukan tarikh PRU15.

“Utamakan rakyat bila susah. Bila dalam krisis, kita fokus untuk bantu rakyat. Bukan tak boleh nak adakan PRU tahun depan lepas semua dah reda. Rakyat tak sanggup nak hilang orang tersayang dan harta benda lagi,” tulisnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )