Rakyat kena tolak pemimpin munafik, rendah akhlak!

Rakyat kena tolak pemimpin munafik, rendah akhlak!

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kehebatan Islam hendaklah diserlahkan melalui budaya kerja, aktiviti sosial, kegiatan ekonomi dan etika berpolitik.

Baginda bertitah, ia boleh dilakukan dengan tidak memberikan amanah kepada mereka yang lemah moral dan terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa dan tidak amanah.

“Masyarakat Islam hendaklah dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam dengan tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan yang berimej mungkar dan munafik, kalangan yang lemah moral dan rendah akhlaknya, kalangan yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa serta kalangan yang tidak amanah dan tidak ikhlas,” titah baginda lagi.

Titah Sultan Nazrin ini bertepatan dengan situasi yang berlaku sekarang ini, figura politik yang kononnya menjadi pemimpin masyarakat, tetapi terpalit dengan pelbagai skandal kewangan, rasuah, kleptokrasi dan salah guna kuasa.

Pelbagai pengkhianatan dilakukan kepada rakyat jelata. Dan terkini apabila rakyat terpaksa menderita, tutup perniagaan, aktiviti mencari rezeki dihentikan, anak-anak tidak boleh bersekolah dek kerana kedegilan para ahli politik yang akhirnya menyebabkan penularan Covid-19 mencanak naik bagai nak gila.

Hari ini bermula PKP, PKPB dan PKPP, terima kasih para menteri Tebuk Atap, ternyata anda sangat berdedikasi.

Paling menarik bila diisytiharkan Darurat oleh kerajaan Tebuk atap demi kepentingan diri dan menjaga leher Muhyiddin semata-mata. Di mana keikhlasan dan kehormatan mereka sebagai pemimpin? Kononnya darurat, anak-anak disuruh ke sekolah tetapi DUN dan Parlimen digantung.

Umat Islam, terutamanya ahli dan penyokong PAS pula sekarang mula merasa pelik dan hairan, PAS berubah 360 darjah setelah menjadi kerajaan. Tiada penambahbaikan atau perubahan positif terhadap perkara-perkara yang dikritiknya sebelum ini.

Belum lagi disebut tentang kenaikan elaun para exco dan DUN di Kelantan. Belum lagi disebut tentang pembelian sebelas buah kereta Mercedes yang bernilai RM 700 ribu setiap satu di saat rakyat minum air berkarat.

Belum lagi disebut tentang amanah rakyat yang dikhianati, rakyat dipaksa tadah air hujan untuk dijadikan air kegunaan harian. Pemimpin Islam jenis apa ini?

Masing-masing hanya tahu berkata-kata, melalak dan melaungkan kehendak tetapi amanah yang diberikan kepada mereka, dikhianati semahu-mahunya demi kuasa.

Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Hadi Awang  pula, amanah apa yang ditunaikan sepanjang menjadi Duta tersebut? Jawapan ada pada diri anda wahai rakyat yang bijaksana lagi berhikmah dalam berfikir.

Jangan hanya tahu berkata-kata tetapi hakikatnya jauh panggang dari api!!

 

 

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )