Rakyat dikurung, Nazri ke luar negara untuk daftar sekolah anak?

Rakyat dikurung, Nazri ke luar negara untuk daftar sekolah anak?

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Padang Rengas menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ke luar negara meninggalkan rakyat di kawasan beliau ketika pandemik Covid-19 sebagai tidak sensitif.

Naib Ketua PKR Cabang Padang Rengas, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan Mohamed Nazri meninggalkan negara ini untuk ke Paris, Perancis seperti yang tular di media sosial disifatkan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, ketika kes jangkitan harian dan kematian Covid-19 terus mencatatkan angka tinggi, amat wajar bagi seorang wakil rakyat menunjukkan sikap lebih merendah diri dengan menangguhkan sebarang aktiviti bukan perlu dan menumpukan perhatian terhadap kelompok masyarakat yang terkesan terutama di kawasan Parlimen diwakili.

“Adalah sesuatu yang amat mendukacitakan dan hampa melihat gelagat wakil rakyat yang tidak sensitif dengan keadaan semasa tatkala rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan seharian,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, dalam keadaan negara berhadapan dengan krisis kepimpinan yang parah ketika ini, wakil-wakil rakyat tidak seharusnya menunjukkan sikap sombong dan angkuh.

Media sebelum ini melaporkan Mohamed Nazri berada di luar negara bagi mendaftarkan persekolahan anaknya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )