Rakaman audio mirip Anwar & Zahid tular

Rakaman audio mirip Anwar & Zahid tular

Satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tular setelah didedahkan di media sosial.

Video tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, dalam video berdurasi 4 minit 17 saat menerusi akaun Facebook Insider Malaysia itu, turut kedengaran suara dipercayai mirip dengan Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO itu menerusi panggilan telefon.

Suara itu mengatakan sudah 22 tahun dia tidak mengikuti perhimpunan tersebut secara dekat.

“Saya sudah 22 tahun baru saya ‘follow’ Perhimpunan Agung UMNO, I tengok ucapan ‘you’ bagus, ‘you’ ada ‘mention’ MT (Majlis Tertinggi), kemudian ‘end off point’ kita nak ‘finish the game’, tapi kalau ‘you’ dah fikir untuk mandat tu oklah cuma ada kerja sikit dengan MT lah,” katanya.

Sementara itu, suara dipercayai mirip Ahmad Zahid pula mengatakan bahawa ucapan tersebut hanyalah bersifat taktikal dan mudah dilakukan serta sudah mendapat mandat yang kukuh daripada perwakilan UMNO.

“You tahu siapa cikgu saya kan. Cikgu saya yang mengajar ucapan ini orang saya sedang bercakap inilah,” katanya sambil ketawa bersama.

Suara mirip Anwar berkata, Majlis Pimpinan Pusat PKR turut mendengar ucapan tersebut dan ia penting kepada beliau untuk melakukan perbincangan.

Sementara itu suara mirip Ahmad Zahid berkata, apabila mandat diberikan kepada presiden maka ia lebih mudah daripada usul.

Antara perkara yang turut dibualkan ialah tentang Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang telah ditolak oleh perwakilan ketika berucap dalam perhimpunan tersebut.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )