PRU15 perlu diadakan setelah tamat MoU

PRU15 perlu diadakan setelah tamat MoU

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berpandangan, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan selepas tamat Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik serta keadaan pandemik Covid-19 di negara ini menjadi stabil.

Katanya, ia kerana mandat rakyat perlu dikembalikan demi mewujudkan kestabilan, membolehkan negara bergerak lebih yakin untuk kemakmuran rakyat.

“Negara telah ada indikasi bila PRU15 akan diadakan setelah kerajaan menandatangani perjanjian tersebut dengan pembangkang..

“Pendirian saya, PRU15 perlu diadakan secepat yang mungkin selepas perjanjian ini tamat, walau bagaimanapun ia juga bergantung kepada keadaan Covid-19 ketika itu,” katanya.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros pula berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan satu isyarat jelas yang dizahirkan oleh pengundi betapa mereka menginginkan kestabilan politik yang kelak akan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan mereka.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata, isyarat tersebut perlu disahut dan diteliti secara terbuka oleh pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan jeda masa yang paling sesuai, bagi berdepan dengan PRU15.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )