PRU selewat yang boleh, rakyat tak perlukannya ketika ini

PRU selewat yang boleh, rakyat tak perlukannya ketika ini

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berpandangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah perkara terakhir yang dimahukan rakyat ketika ini, sekali gus perlu diadakan selewat mungkin.

Katanya, PRU15 tidak perlu diadakan sehinggalah penggalnya tamat tahun depan dan ketika ini semua pihak sepatutnya memberi tumpuan membantu kerajaan melaksanakan dasar yang betul.

“Perlu ada langkah untuk elak adakan PRU15 sebelum penggal lima tahun itu tamat. Jika kita lihat sejarah, kebanyakan penggal parlimen berakhir sehingga lima tahun, jadi PRU15 boleh diadakan pada Ogos atau September 2023, tentunya setahun lagi.

“Saya katakan bahawa untuk kepentingan awam dan negara, PRU seharusnya diadakan selewat yang boleh,” katanya.

Tommy berkata, penduduk di negara ini sudah melalui satu tempoh yang sukar susulan penularan pandemik COVID-19 dan ketika ini secara perlahan-lahan melalui pemulihan.

“Kebanyakan rakyat Malaysia bergantung kepada gaji dan upah yang tidak berubah atau dinaikkan sepanjang penularan COVID-19, perniagaan terhenti dan perniagaan kecil-kecilan terkesan, simpanan juga sudah berkurangan. Kini rakyat perlahan-lahan melalui pemulihan dengan pembukaan semula perniagaan.

“Sebelum ini, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk persaraan juga dibenar untuk dikeluarkan. Justeru, ketika rakyat Malaysia sedang bersusah payah, PRU adalah perkara terakhir yang mereka mahukan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )