Projek LCS rugi RM6 bilion: Pendedahan PAC buat rakyat kecewa dengan SPRM

Projek LCS rugi RM6 bilion: Pendedahan PAC buat rakyat kecewa dengan SPRM

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur (LCS) bernilai RM9 bilion.

Veteran DAP itu turut meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menjelaskan kepada rakyat, mengapa badan itu tidak bertindak lebih awal dalam isu projek yang dilaksanakan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.

Katanya, pada 2020, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, menggesa siasatan terhadap kehilangan RM1 bilion yang dikaitkan dengan projek LCS, namun dakwa beliau, tiada sebarang siasatan diumumkan kerajaan atau tindakan diambil SPRM sejak itu.

“Amat menyedihkan untuk melihat bagaimana kerajaan sekali lagi mengecewakan rakyat Malaysia, dengan satu lagi skandal mega, yang mendedahkan kerugian RM6 bilion.

“Kini menjadi tugas SPRM untuk menyiasat setiap aspek perbelanjaan dan memaklumkan kepada rakyat, sama ada wang itu benar-benar diseleweng dan siapa yang akhirnya mendapat manfaat daripadanya.

“Laporan PAC mungkin memberi sedikit petunjuk kepada SPRM jika SPRM tidak tahu mengenai wang yang hilang itu. Adalah mengejutkan apabila laporan PAC mendedahkan bukan saja RM1 bilion tetapi RM1.4 bilion yang hilang,” dakwanya.

Semalam, selepas dua tahun disiasat dan sembilan prosiding, PAC mengumumkan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek LCS.

Rumusan berkenaan termasuk kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )