PNBBC sokong lantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin, demi rakyat

PNBBC sokong lantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin, demi rakyat

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri diharap dapat membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menambah baik aspek pentadbiran dan penyampaian khidmat kerajaan kepada rakyat.

Katanya, ia perlu bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat selain memperbetulkan persepsi mereka bagi memastikan setiap usaha untuk memulihkan negara dari aspek ekonomi dan sosial dapat terus dilaksanakan dengan jayanya.

“Besar harapan kami agar Timbalan Perdana Menteri dapat membantu Perdana Menteri untuk terus memberikan fokus terhadap aspek pentadbiran negara.

“Ia termasuk mempercepatkan proses vaksinasi bagi menjayakan pembentukan imuniti kelompok atau herd immunity serta membela keperluan rakyat di setiap Parlimen dengan mempertingkatkan lagi penyaluran bantuan bakul makanan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam hal itu, katanya, kerajaan perlu bergerak ke hadapan dalam menguruskan negara dan menghadapi segala retorik yang berusaha menggagalkan usaha kerajaan dengan gigih.

Katanya, PNBBC juga menyatakan sokongan terhadap pelantikan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dari UMNO selain sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Shahidan berkata, ia memandangkan usaha membawa keluar negara dan rakyat daripada kemelut pandemik Covid-19 ini adalah perjuangan bersama.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )