PN sibuk isi temolok pemimpin

PN sibuk isi temolok pemimpin

Naib Presiden AMANAH, Dato’ Mahfuz Omar berkata, kekecewaan yang dizahirkan terhadap PM setelah gagal menunaikan janji seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, begitu ketara bahawa jawatan TPM menjadi tuntutan yang sedang diperjuangkan Perikatan Nasional (PN).

“Dalam usaha kita mahu memastikan tiada lagi ‘lompat katak’ antara Ahli Parlimen tiba-tiba muncul pula usaha memenuhi temolok pemimpin PN dengan menagih kerusi TPM supaya segera direalisasikan oleh Perdana Menteri.

“Rakyat yang sedang berhempas pulas cuba memenuhi temolok keluarga dengan pelbagai kepayahan hidup pula dibiarkan berjuang dengan pelbagai kesulitan.

“Ini termasuklah keperitan kenaikan harga barangan serta gaji dan pendapatan yang kecil khususnya golongan petani, nelayan, pekebun dan penoreh getah serta golongan bawahan,” katanya.

Dalam pada itu Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menasihatkan agar pimpinan tertinggi PN seperti Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya tidak mengkhianati rakyat dengan keasyikan memenuhi temolok pimpinan PN melalui usaha mengisi kedudukan jawatan TPM semata-mata.

Sebaliknya kedua-dua pemimpin tersebut perlu berusaha membantu mengisi temolok rakyat yang hampir lemas ekoran kegagalan kerajaan PN menunjangi kerajaan sedia ada, katanya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )