PKR mohon maaf kepada pengundi Julau,Tebrau

PKR mohon maaf kepada pengundi Julau,Tebrau

Parti Keadilan Rakyat (PKR) memohon maaf kepada pengundi di Julau dan Tebrau atas sikap dua ahli Parlimen kawasan berkenaan yang telah membuat tindakan keluar parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Majlis Pimpinan Pusat parti itu turut membuat keputusan untuk memecat Ketua Cabang Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ketua Cabang Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon sebagai ahli parti itu serta-merta.

“Jentera PKR di kedua-dua cabang tersebut diminta melipat gandakan usaha mendampingi rakyat, menyelesaikan isu dan masalah serta bersiap sedia mengambil semula kerusi-kerusi ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Majlis Pimpinan Pusat juga telah membincangkan tindakan mahkamah terhadap mereka yang telah bertanding di atas tiket PKR tetapi telah mengkhianati mandat rakyat dan keluar parti,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Larry dan Steven menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, ketika Covid-19 masih merebak dan ekonomi negara terus suram, darurat digunakan sebagai alasan mengekalkan kuasa kerajaan yang telah hilang sokongan majoriti iaitu dengan memberi masa untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen melalui ugutan, tawaran jawatan dan habuan.

“Walaupun dengan pengkhianatan dua ahli Parlimen hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu sedar bahawa majoriti ahli-ahli Parlimen sudah tidak lagi bersama beliau.

“Beliau sepatutnya tidak lagi berusaha untuk mengekalkan kerajaan yang lemah ini tetapi meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )