PKR ‘miskin’ sokongan, isu dalaman gagal diurus

PKR ‘miskin’ sokongan, isu dalaman gagal diurus

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin berdepan laluan sukar, terutama dalam memberikan persaingan sengit kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika parti itu gagal menguruskan isu perpecahan dalaman di peringkat akar umbi.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib, berkata dalam situasi semasa yang memperlihatkan sokongan terhadap PKR tidak sekuat dulu, isu perpecahan atau berpuak-puak dalam parti dijangka memberi impak besar.

“Isu ini boleh memberi impak besar terhadap kekuatan PKR sebagai antara parti yang berkaliber. Memang berpuak-puak dalam parti politik adalah lumrah kerana masing-masing mahu bersaing untuk menunjukkan kekuatan tersendiri, namun ia juga satu kelemahan yang ketara bagi parti politik.

“PKR sudah berada dalam keadaan yang ‘miskin’ sokongan. Jika isu puak tidak diurus dengan baik, ia akan memberi impak besar terhadap kekuatan PKR,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan wujud dua kem dalam PKR, masing-masing menyokong Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden, Rafizi Ramli yang akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tidak lama lagi.

Katanya, dalam situasi genting ini, PKR harus mengatur langkah lebih baik dan memastikan pemulihan dari dalam dilakukan secara menyeluruh kerana ia perlu hadir dengan strategi berbeza untuk meyakinkan pengundi pada PRU15 yang rata-rata telah beralih sokongan dan kepercayaan kepada BN-UMNO.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )