Peruntukan RM329.33 juta, banjir tetap berulang, PAC panggil Shahidan dan DBKL

Peruntukan RM329.33 juta, banjir tetap berulang, PAC panggil Shahidan dan DBKL

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan prosiding berhubung isu pengurusan mitigasi banjir di ibu negara membabitkan peruntukan bernilai RM329.33 juta, khususnya aspek berkaitan kawalan terhadap insiden bah berulang di beberapa kawasan.

Bagi tujuan itu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata pihaknya akan memanggil Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memberi penjelasan terhadap isu itu.

“Masa belum ditentukan. Tapi biasanya kita akan panggil Menteri, KSU dan DBKL untuk hadir ke prosiding ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan memanggil mereka juga dibuat susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri Satu yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Dalam tempoh dua tahun sejak 2020, PAC sudah mengadakan prosiding untuk 16 isu yang dibangkitkan dalam LKAN, antaranya 11 laporan PAC yang sudah dibentangkan, manakala lima isu lagi masih di peringkat prosiding dan penyediaan laporan.

Tindakan PAC untuk memanggil pihak yang berkaitan bagi menjelaskan mengapa insiden bah berulang sering berlaku khususnya di Kuala Lumpur, disokong banyak pihak.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )