Pertukaran tempat kerja, gangguan jadual apabila melaporkan salah laku dalam jabatan. Ini realiti!!

Pertukaran tempat kerja, gangguan jadual apabila melaporkan salah laku dalam jabatan. Ini realiti!!

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, meminta kerajaan mengeluarkan satu garis panduan jelas berhubung kaedah atau mekanisme untuk penjawat awam membuat teguran terhadap anggota Jemaah Menteri yang didapati membuat keputusan melanggar peraturan dan undang-undang.

Menurutnya, ia bagi mengelakkan penganiayaan terhadap penjawat awam yang membuat laporan salah laku sedemikian.

“Sekiranya tiada garis panduan yang jelas mengenai sistem aduan, terutama dalam hal membabitkan kerahsiaan pengadu, tempoh siasatan, jenis aduan dan ketelusan dalam siasatan, sudah pasti usaha ini tidak akan mendapat sambutan warga penjawat awam.

“Sebelum ini terdapat kes penjawat awam diberi tekanan seperti halangan kenaikan pangkat, pertukaran tempat kerja dan gangguan dalam jadual pekerjaan apabila melaporkan salah laku dalam jabatan dan agensi kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dato” Seri Anwar Ibrahim semalam yang meminta kakitangan awam menegur sebarang keputusan dibuat oleh Menteri, termasuk Perdana Menteri jika ia didapati melanggar peraturan undang-undang.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, Pegawai yang melaksanakan arahan mengandungi apa yang disifatkan sebagai keterlanjuran, tidak boleh dipersalahkan berikutan ia diminitkan oleh Menteri dan menyebabkan mereka mematuhinya.

Adnan berkata, ramai penjawat awam takut untuk melaporkan salah laku, terutama melibatkan mereka yang berstatus Menteri kerana bimbang dengan tekanan serta karier mereka tergugat.

Oleh itu, katanya, penting ada panduan atau sistem yang jelas diperkenalkan oleh kerajaan bagi membolehkan warga perkhidmatan awam turut sama terbabit dalam memerangi gejala salah laku, terutama membabitkan Pegawai tertinggi kerajaan dan Menteri.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )