Pertukaran reka bentuk LCS, keterangan Zahid bercanggah

Pertukaran reka bentuk LCS, keterangan Zahid bercanggah

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesan percanggahan dalam keterangan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan pada 2011, mengenai pertukaran reka bentuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) daripada SIGMA kepada GOWIND.

Menurut Ahmad Zahid, reka bentuk yang diubah daripada SIGMA kepada GOWIND adalah keputusan yang dicapai susulan daripada cadangan dan syor kontraktor kapal LCS iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) dan Naval Group.

Jelasnya, kedua-dua syarikat mengemukakan penjelasan kelebihan reka bentuk GOWIND dan menunjukkan reka bentuk sedemikian adalah yang terbaik dalam memenuhi keperluan serta penggunaan kapal-kapal LCS di Malaysia.

“Saya sebagai Menteri Pertahanan tidak ada latar belakang teknikal terutama dari segi menentukan reka bentuk kapal itu.

“Ini kerana pertamanya, reka bentuk yang dibuat sebagaimana Yang Berhormat sebut daripada SIGMA ke GOWIND adalah keputusan yang dicapai susulan cadangan dan syor daripada kontraktor pembinaan kapal LCS iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) sendiri dan juga French Naval Group yang memberikan khidmat nasihat kepada BNS.

“Faktor kedua, perubahan reka bentuk kapal LCS adalah tertakluk kepada pilihan kontraktor pembinaan kapal. Saya sebutkan tadi BNS dan French Naval Group dan bukan atas pilihan dan keputusan Menteri Pertahanan ketika itu.

“Ketiga, keputusan perubahan reka bentuk tidak akan dibuat sewenang-wenangnya tanpa cadangan dan syor daripada pasukan arkitek pembinaan LCS. Ia disyorkan oleh kumpul arkitek naval. Ia bukan daripada Menteri,” katanya.

Dalam prosiding sama, Ahmad Zahid turut mengakui beliau tidak tahu mengenai butiran perubahan reka bentuk LCS kerana keputusan dibuat di peringkat kementerian berdasarkan keperluan pengguna akhir.

Beliau juga tidak mahu membincangkan mengenai pertembungan personaliti yang berlaku dalam TLDM.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )