Permohonan Yusoff ditolak Mahkamah

Permohonan Yusoff ditolak Mahkamah

Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Pembantu Penyelidik Dato’ Seri Anwar Ibrahim iaitu Muhammed Yusoff Rawther, untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan serta keseluruhan tuntutan balas Presiden PKR itu.

Permohonan itu berhubung saman difailkan Muhammed Yusoff, atas dakwaan serangan seksual oleh Ketua Pembangkang terbabit di kediamannya, empat tahun lalu.

Peguam Bela Muhammed Yusoff, Mahajoth Singh, berkata permohonan itu ditolak dengan kos RM3,500, namun tiada tempoh dimaklumkan bagi bayaran berkenaan.

“Defendan (Anwar) pula ada failkan dua permohonan iaitu penzahiran dokumen dan interlokutori. Pendengaran untuk kedua-dua permohonan itu pada 23 September ini,” katanya.

Pada 9 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Anwar, 73, memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman dikemukakan Muhammed Yusoff, 28.

Pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff, memfailkan saman mendakwa serangan seksual pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar, di Segambut.

Bekas Pembantu Penyelidik Anwar itu selaku plaintif mendakwa Presiden PKR berkenaan, melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya, manakala beliau menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )