Permohonan tangguh bicara Zahid ditolak Mahkamah

Permohonan tangguh bicara Zahid ditolak Mahkamah

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Pasukan Pembelaan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menangguhkan perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu hingga rayuannya mendapatkan salinan keterangan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diputuskan Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian kerana mendapati tiada keadaan khas bagi membenarkan permohonan itu selain Ahmad Zahid tidak akan diprejudis ketika prosiding bela diri didengar di mahkamah.

“Mahkamah berpendapat Ahmad Zahid bebas menemubual saksi pada bila-bila masa kerana kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga, malah pihak pendakwaan bersedia untuk membantunya dalam hal itu.

“Ahmad Zahid juga masih akan berhadapan perbicaraan secara adil walaupun mahkamah menolak permohonan itu. Perbicaraan akan diteruskan dengan pemeriksaan balas,” katanya.

Terdahulu, Peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata anak guamnya perlu berhadapan prosiding mahkamah dalam situasi yang lengkap dan menyeluruh mengikut undang-undang.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berkata Ahmad Zahid mempunyai banyak masa untuk mendapatkan salinan itu, namun hanya berbuat demikian pada saat terakhir.

“Perbicaraan ini membabitkan kesalahan serius. Jika mahkamah membenarkan permohonan itu, bila kes ini akan berakhir. Saksi itu pun juga ada yang rapat dengan tertuduh.

“Ahmad Zahid bukan dalam tahanan reman, maka beliau pada bila-bila masa berjumpa dengan mereka untuk lebih bersedia ketika disoal jawab di mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata permohonan itu bukan bertujuan melengah-lengahkan atau melewatkan perbicaraan kerana beliau sudah memberikan keterangan pada peringkat pemeriksaan utama.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )