Perikatan Nasional tidak bermaruah, retorik Penyatuan Melayu satu penipuan.

Perikatan Nasional tidak bermaruah, retorik Penyatuan Melayu satu penipuan.

Penarikan sokongan Ahmad Jazlan terhadap kerajaan Perikatan Nasional beberapa hari menjadikan kerajaan PN hanya  mempunyai 110 sokongan Ahli Parlimen, berbanding 108 sokongan diraih PH dan sekutunya.

Susulan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof tampil dengan kenyataan kononnya ramai ahli Parlimen dan parti politik yang menghubunginya untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan PERIKATAN NASIONAL.

Ahli Majlis Tertinggi BERSATU itu berkata kerajaan PERIKATAN NASIONAL masih lagi kukuh kerana ramai lagi ahli Parlimen yang boleh menggantikan tempat Ahmad Jazlan.

“Kalau setakat seorang sahaja, tiada masalah dan kita masih lagi okey. Ramai lagi orang lain yang memikirkan untuk bersama kerajaan. Kita tidak boleh berfikiran hanya sekadar seorang individu boleh meruntuhkan Kerajaan,” ujarnya seperti dipetik Sinar Harian.

Akhbar yang sama juga memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan yang berkata, PERIKATAN NASIONAL mempunyai sokongan dan majoriti cukup dari kalangan Ahli Parlimen berbanding pembangkang bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi.

“Apa pun kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan yang ‘valid’. kita mempunyai cukup sokongan, siapa lagi yang lebih dari kita?” katanya seperti dipetik.

Sementara itu wujud spekulasi bahawa Presiden PAKATAN HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi.

Tujuannya ialah untuk mengemukakan bukti bahawa beliau kini mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.

Dalam pada itu pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang menyeru supaya dikembalikan mandat kepada PAKATAN HARAPAN dan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Dengan itu Malaysia dapat memulakan untuk memenuhi cita-citanya menjadi sebuah negara besar bertaraf dunia yang bersatu, harmoni, berbilang kaum dari sebuah cahaya di dunia yang gundah gulana dan terganggu,” katanya.

Menurut beliau, UMNO, BERSATU dan PAS gagal membentuk pemerintahan yang stabil kerana retorik Penyatuan Melayu yang terbukti menjadi janji palsu untuk Malaysia.

Sebelum itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata “naratif baharu negara amat diperlukan di semua aspek utama merangkumi politik, ekonomi dan sosial bermula daripada tadbir urus dan akauntabiliti, pendidikan, teknologi, penjagaan kesihatan dan mobiliti sosial.”

“Tiada tempat yang tersisa untuk sebarang politik perkauman dan agama. Perpaduan harus menjadi landasan kepada reformasi melalui demokrasi partisipasi yang diwakili oleh semua pemegang taruh,” tegasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )